PPWS Miri-Bintulu terus perkasa wanita selepas 60 tahun

BINTULU, 6 Julai: Perjuangan Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Cawangan Miri-Bintulu selama enam dekad terus menjadi simbol keteguhan dan kesungguhan wanita dalam memacu pembangunan masyarakat wilayah ini.
 
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus berkata, tempoh 60 tahun itu membuktikan keutuhan organisasi dan dedikasi ahlinya dalam memperkasakan peranan wanita di Sarawak.
 
“PPWS membuktikan wanita bukan sekadar pelengkap masyarakat malah penggerak utama pembangunan komuniti dalam pelbagai aspek termasuk pendidikan, ekonomi, sosial, budaya dan kepimpinan,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun ke-60 PPWS Cawangan Miri-Bintulu di sini, pada Sabtu.
 
Menurutnya, wanita masa kini perlu diperkasakan dengan kemahiran baharu yang relevan dengan perkembangan semasa terutamanya dalam era digital.
 
“PPWS kini melaksanakan program pembangunan wanita lebih tersusun dan menyeluruh merangkumi tujuh bidang utama iaitu kemahiran, keusahawanan, kepimpinan, khidmat masyarakat, kesejahteraan keluarga, kesihatan serta pemberdayaan digital,” ujarnya.
 
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Kerajaan Sarawak menyediakan pelbagai bentuk latihan dan bantuan untuk wanita termasuk Bantuan Ketua Isi Rumah Wanita Sarawak (KIRWaS), geran pemerkasaan bernilai RM2,000 dalam bentuk peralatan perniagaan serta program literasi kewangan dan digital.
 
“Saya tekankan semua ini kerana kita mahu Jabatan Wanita bekerjasama rapat dengan PPWS. Fokus kita sama iaitu memperkasa wanita dan mengangkat martabat institusi keluarga,” jelasnya.

– TVS