PPWS terus perkasa wanita luar bandar

LIMBANG, 1 Sept: Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) terus komited menganjurkan pelbagai program ke arah memperkasakan keupayaan wanita termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
 
Pengerusinya, Dato Norhyati Mohd Ismail berkata, usaha memperkasa wanita menjadi teras perjuangan PPWS sebagai badan pemangkin pembangunan wanita di Sarawak.
 
“Matlamat kita adalah memberi pendidikan, ilmu dan menambah kesejahteraan keluarga. Ahli-ahli PPWS turun ke lapangan bukan sahaja untuk komuniti sendiri, tetapi juga membantu komuniti sekitar khususnya di luar bandar,” katanya ketika ditemui media sempena Hari Sinergi PPWS 2025 membabitkan kerjasama PPWS Daerah Limbang bersama Zon C di Pejabat PPWS Cawangan Limbang/Lawas hari ini.
 
Turut hadir Exco PPWS Cawangan Limbang/Lawas Hamimah Hasbullah dan Jemilah Matasan, Pengerusi PPWS Cawangan Limbang/Lawas Fariyana Ajmain serta Pengerusi PPWS Daerah Limbang Dayang Suridah Mohamad Superi.
 
Norhyati berkata, program yang dilaksanakan melibatkan penyertaan wanita luar bandar merangkumi aspek sosial, ekonomi, pendidikan dan kepimpinan masyarakat.
 
Beliau menjelaskan, PPWS sentiasa komited mewujudkan program terancang dan aktiviti berimpak yang mampu memberi ilmu serta kemahiran, sekali gus membuka ruang wanita memajukan diri.
 
“Penyertaan wanita dari seluruh Sarawak dalam PPWS memberi peluang untuk berkongsi maklumat, kemahiran dan pengetahuan terkini sejajar dengan perkembangan semasa,” ujarnya.

- TVS