Pesta Cucur 2025 platform asah kreativiti peniaga

KUCHING, 5 Okt: Pesta Cucur 2025 yang julung kali dianjurkan Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Daerah Kuching menjadi platform penting untuk peniaga mengasah kreativiti dalam penghasilan pelbagai jenis cucur tempatan.

Salah seorang peserta, yang juga Pengerusi Perkumpulan Sri Arjuna, Saryati Dioh berkata, penganjuran program ini membantu mempromosikan keunikan kuih cucur hasil tangan peniaga wanita di Kuching.

“Saya hari ini bukan sebagai seorang penjual atau peniaga sebaliknya mengambil bahagian pertandingan yang dianjurkan bersama ahli-ahli kami orang  yang mana objektif kali ini sangat penting untuk memperkenalkan macam-macam jenis cucur yang ada di Sarawak,” katanya kepada TVS semasa Program Pesta Cucur 2025 di Kuching pada Ahad.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PPWS Daerah Kuching, Hamidah Muhammad menjelaskan, program ini sebahagian daripada pelan tindakan dua tahun PPWS yang dirancang lama bagi mengetengahkan kepelbagaian jenis cucur.

“Tujuannya asalnya adalah untuk mengetengahkan kepelbagaian cucur kepada masyarakat biasanya cucur pisang atau cucur udang yang popular, tetapi kami ingin mencari bakat serta kreativiti ahli-ahli kami untuk mengolah cucur lain dari yang lain sebenarnya,” jelasnya.

Pengerusi PPWS Daerah Kuching, Norhasyimah Abdullah, pula menegaskan penganjuran ini wajar diteruskan dan diperluas pada masa akan datang bagi memperkasa usahawan wanita serta mengeratkan hubungan sesama ahli.

“Selain daripada itu objektif program hari ini juga memang kami tekankan untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan kami dan mengukuhkan lagi perhubungan antara ahli-ahli PPWS di negeri Sarawak, khususnya para wanita,” ujarnya. – TVS