LIMBANG, 12 Okt: Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) di daerah ini perlu memainkan peranan lebih aktif dengan menganjurkan pelbagai program termasuk aktiviti kesukanan yang memberi impak positif terhadap pembangunan komuniti setempat.
Pengerusi PPWS Daerah Limbang/Lawas, Fariyana Ajmain berkata, penganjuran program kesukanan merupakan platform terbaik untuk memupuk semangat kerjasama, persefahaman dan interaksi sihat dalam kalangan ahli, selain memberi peluang kepada mereka menjana pendapatan melalui aktiviti jualan.
“Kita sentiasa menggalakkan setiap cawangan dan zon di bahagian ini untuk terlibat bukan sahaja dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kepimpinan masyarakat, tetapi juga dalam acara kesukanan dan sosial,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Badminton dan Sukaneka PPWS Zon B di Dewan Kampung Pabahanan, hari ini.
Turut hadir Pengelola PPWS Limbang/Lawas, Nurul Izza Hanis.
Fariyana berkata, program seperti itu bertujuan mengeratkan silaturahim sesama ahli PPWS serta membentuk sikap positif dan disiplin yang tinggi.
PPWS Zon B meliputi lapan perkumpulan iaitu PPWS Kampung Pemukat, Bukit Kota, Limpaong, Buangsiul, Pabahanan, Taman Desa Pabahanan, Rangau dan Patiambun.
Sebanyak 60 pasukan menyertai kejohanan badminton manakala lapan pasukan lagi mengambil bahagian dalam acara sukaneka, yang turut dimeriahkan dengan gerai jualan serta cabutan bertuah.-TVS