LIMBANG, 7 Okt: Hubungan erat antara Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Cawangan Limbang/Lawas dan Persatuan Pengusaha Wanita Negara Brunei Darussalam terus diperkukuh menerusi pelbagai kerjasama dalam bidang sosial, ekonomi dan kepimpinan.
Pengerusi PPWS Cawangan Limbang/Lawas, Fariyana Ajmain, berkata jalinan kerjasama itu terbentuk atas dasar persaudaraan serantau, persamaan budaya serta matlamat bersama dalam memperkasa peranan wanita di kedua-dua negara.
Menurutnya, kedudukan geografi Limbang yang bersempadan dengan Brunei serta perkongsian sejarah, budaya dan bahasa yang hampir sama turut mengeratkan lagi hubungan dan interaksi masyarakat di kedua-dua pihak.
“Kerjasama ini diharapkan akan terus diperkukuh pada masa hadapan melalui pelbagai inisiatif bersama dalam bidang sosial, ekonomi dan kebajikan demi manfaat wanita dan masyarakat kedua-dua negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Glamorous Gala Night sempena sambutan ulang tahun ke-63 PPWS di Dewan Suarah Limbang, malam tadi.
Fariyana berkata, penganjuran majlis seumpama itu bukan sahaja menyemarakkan semangat perpaduan dan identiti kebudayaan tempatan, malah memperkukuh nilai murni seperti hormat-menghormati, tolong-menolong dan semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat.
“Penyertaan pelbagai perkumpulan PPWS di Limbang bersama Persatuan Pengusaha Wanita Negara Brunei Darussalam dan NGO tempatan menonjolkan semangat perpaduan serta kebersamaan yang tinggi.
“Ia mencerminkan semangat muafakat, kesetiaan dan kebanggaan terhadap warisan budaya yang terus kita pelihara dalam arus kemodenan hari ini.
“Kejayaan majlis ini juga menjadi bukti bahawa semangat sukarelawan dan komitmen ahli persatuan masih kukuh serta terus menyala demi memperkukuh kedudukan PPWS sebagai wadah penyatuan dan pembangunan masyarakat,” katanya.