KUCHING, 16 Ogos: Program Gempak Inspirasi anjuran Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) menjadi platform penting dalam memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai fungsi agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program tersebut bukan sahaja menyebarluaskan perkhidmatan kerajaan, malah turut merangkumi perkongsian ilmu, sesi motivasi dan pembinaan jaringan komuniti.
“Program seperti ini memberi kesedaran kepada ibu bapa untuk meluangkan masa dan menggunakan peluang yang ada bagi menyemai nilai positif dalam diri anak-anak.
“Kita perlu menggunakan pendekatan menyeluruh, baik sebagai bangsa mahupun komuniti, untuk mendekati kanak-kanak agar mereka dapat menghadapi cabaran kehidupan hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Gempak Inspirasi @ Sepagi Bersama PPWS di Wisma Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI), Kuching, semalam.
Antara pengisian program termasuk ceramah kesihatan, ancaman serta langkah mengekang jenayah seksual dan siber selain perkongsian berkaitan pemerkasaan wanita dan sistem sokongan komuniti.
Program itu menarik penyertaan lebih 400 peserta terdiri daripada wanita pelbagai latar belakang serta pelajar sekolah menengah Tingkatan Satu hingga Tiga dari kawasan Parlimen Santubong (P193).
Kehadiran ramai peserta membuktikan sokongan positif terhadap peranan PPWS sebagai penghubung antara kerajaan dan masyarakat sekali gus memastikan manfaat program sampai ke semua lapisan komuniti.-TVS