12 resipi tradisi etnik Sarawak dibukukan

KUCHING, 9 Ogos: Sebanyak 12 resipi tradisi pelbagai daerah termasuk Kuching, Bau, Lundu, Kota Samarahan, Serian dan Sebuyau bakal dibukukan tahun hadapan sebagai usaha memelihara warisan kulinari Sarawak.

Pengerusi Jawatankuasa Kecil Media dan Publisiti Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS), Hamdiah Mat berkata, resipi berkenaan dipilih daripada penyertaan Pertandingan Masakan Tradisi Etnik Sarawak anjuran PPWS Cawangan Kuching-Samarahan yang berlangsung hari ini.

“Setiap daerah mempunyai masakan tersendiri yang mungkin tidak diketahui, terutamanya generasi muda. Pertandingan seperti ini dapat memperkenalkan dan mempopularkan semula hidangan tradisi,” katanya ketika ditemui pada program tersebut.

Beliau menjelaskan, pertandingan seperti itu akan diadakan di semua cawangan PPWS di seluruh negeri dan resipi terpilih akan dihimpunkan dalam Buku Resipi Masakan Tradisi Etnik Sarawak.

Selain memelihara khazanah masakan pelbagai etnik, Hamdiah berkata, program tersebut juga mendorong inovasi dalam penyediaan hidangan tradisi serta menambah nilai khasiat makanan sihat.

Mengenai penilaian pertandingan katanya, juri menilai peserta berdasarkan beberapa kriteria utama termasuk kekemasan, rasa, kreativiti dan kebersihan.

Selaras dengan peranan memperkasa wanita serta menyokong agenda pembangunan negeri, PPWS komited melaksanakan pelbagai program pembangunan wanita di seluruh Sarawak.-TVS