PPWS, SFC jayakan program pemulihan hutan di Semenggoh

KUCHING, 4 Okt: Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) dengan kerjasama Sarawak Forestry Corporation (SFC) giat melaksanakan Program Kelestarian Alam Sekitar – Penanaman Anak Pokok sebagai usaha memulihkan ekosistem hutan dan meningkatkan kawasan hijau di wilayah ini.

Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran berkata, program itu sejajar dengan usaha berterusan SFC memulihkan kawasan hutan terjejas akibat pembangunan atau aktiviti manusia.

“Penanaman pokok bukan sahaja menambah baik kualiti alam sekitar, malah menyumbang kepada pengurangan karbon dioksida melalui peranan pokok sebagai penyerap karbon semula jadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, inisiatif itu menyokong sasaran Kerajaan Sarawak untuk menanam semula 35 juta anak pokok, selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menyasarkan restorasi seluas 200,000 hektar hutan ternyahgred.

Sementara itu, Pengerusi PPWS, Dato Norhyati Ismail berkata, program berkenaan membuktikan peranan signifikan wanita dalam pemeliharaan alam sekitar.

“Wanita mampu menjadi ejen perubahan komuniti dengan memberi contoh kepada generasi muda mengenai kepentingan menjaga alam sekitar,” ujarnya.

Program yang berlangsung di Pusat Hidupan Liar Semenggoh itu menghimpunkan lebih 100 peserta terdiri daripada ahli-ahli PPWS (Perkumpulan Sri Arjuna, Annah Rais, Mambong) serta sukarelawan belia Kampung Jawa Semenggoh yang bergotong-royong menanam pokok.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim.-TVS