LIMBANG: Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Cawangan Lawas menyantuni penghuni Penjara Limbang dengan penyerahan sumbangan pakaian terpakai lelaki semalam.
Ketua rombongan Suriyah Jinin berkata, pakaian tersebut diberikan kepada banduan untuk digunakan apabila dibebaskan kelak.
Lawatan tersebut disertai 11 anggota persatuan terbabit.
“Lawatan dan sumbangan ini julung kali diadakan PPWS Cawangan Lawas dan sebahagian daripada program kebajikan dan kemasyarakatan yang diadakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Penjara Limbang Penguasa Penjara Choimmber Tain menyambut baik lawatan itu dan memberikan sedikit taklimat tentang peranan Jabatan Penjara kepada rombongan.
Pihak Penjara Limbang merakamkan penghargaan atas sumbangan pakaian terpakai kepada banduan dan mengharapkan lebih banyak lagi agensi dan NGO luar untuk berkolaboratif dan menjalinkan kerjasama strategik sebagai rakan komuniti kepada Jabatan Penjara Malaysia.






