Kuching: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak membentangkan sembilan syor penambahbaikan tatakelola kepada Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) membabitkan pengurusan dan permohonan dana awam.
Antara cadangan itu ialah memasukkan Klausa Baharu dalam Panduan Pengurusan PPWS berkaitan Larangan Terhadap Konflik Kepentingan, mewujudkan Garis Panduan Permohonan Projek melalui PPWS serta prosedur operasi standard (SOP), pemantauan dan rekod oleh PPWS terhadap semua permohonan.
Cadangan lain termasuk mengambil tindakan tatatertib atau siasatan ke atas pegawai atau persatuan yang melanggar prosedur; mengedarkan surat pemakluman rasmi bersama surat tawaran setiap kali dana disalurkan dan menandatangani Surat Aku Janji oleh Pengerusi dengan mewajibkan semua pihak terbabit selain mengeluarkan arahan atau memo mewajibkan Pelaporan Secara Bertulis kepada PPWS.
Cadangan penambahbaikan itu adalah berdasarkan kes yang pernah berlaku di PPWS di mana seorang pegawai PPWS disyaki menyalahgunakan jawatan dengan melantik suaminya bagi melaksanakan projek membaikpulih rumah kampung menggunakan dana diterima.






