Pesta Bubur Pedas Sarawak 2026 angkat bubur pedas sebagai produk tradisi negeri

KUCHING, 10 Jan: Pesta Bubur Pedas Sarawak 2026 yang berlangsung di Premis Koperasi Perkumpulan Wanita Berhad (KOPERWANIS), Metrocity hari ini menjadi platform penting dalam usaha mengangkat bubur pedas sebagai produk tradisi ikonik negeri.

Program anjuran KOPERWANIS itu telah dirasmikan oleh isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah serta Pengerusi Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS), Dato Norhyati Mohd Ismail.

Menurut Pengerusi KOPERWANIS, Norjanah Razali, penganjuran pesta tersebut bertujuan memartabatkan bubur pedas bukan sekadar sebagai hidangan bermusim, tetapi sebagai produk warisan yang berpotensi dikomersialkan.

“Bubur pedas adalah sajian tradisi masyarakat Melayu Sarawak, namun bahan utamanya iaitu bumbu perlu diberi perhatian kerana di situlah terletaknya rasa dan keaslian bubur pedas itu sendiri,” katanya ketika ditemui media, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, satu pertandingan penghasilan bumbu bubur pedas telah dianjurkan bagi mendapatkan resipi terbaik yang memenuhi piawaian Bubur Pedas Sarawak.

Pertandingan tersebut terbuka kepada lima cawangan PPWS di seluruh negeri, dengan penyertaan melibatkan Kuching-Samarahan, Sri Aman-Betong, Sibu-Sarikei-Kapit-Mukah serta Miri-Bintulu, manakala Limbang-Lawas tidak dapat menyertai kali ini.

Daripada sembilan penyertaan yang diterima, peserta dari PPWS Cawangan Sri Aman-Betong (Maludam), Sharifah Nafisah Wan Akil diumumkan sebagai pemenang selepas penilaian dibuat berdasarkan keaslian resipi, proses penyediaan serta pematuhan kepada kaedah tradisional.

“Penjurian bukan hanya melihat kepada rasa, tetapi juga keaslian resipi yang disahkan melalui video proses penghasilan bagi memastikan ia benar-benar dihasilkan sendiri oleh peserta,” jelas Norjanah.

Beliau berkata, resipi bumbu terpilih itu akan dijadikan produk rasmi keluaran KOPERWANIS dan dirancang untuk dikembangkan sebagai produk tradisional Sarawak.

Pengeluaran akan dimulakan secara kecil-kecilan sebelum diperluaskan mengikut permintaan pasaran.

“Kita tidak mahu bubur pedas hanya muncul ketika Ramadan, sebaliknya menjadi produk yang boleh didapati sepanjang tahun,” ujarnya.

Dalam usaha memastikan kebolehpasaran produk, KOPERWANIS turut merancang mendapatkan pensijilan halal dan HACCP, dengan premis di Metrocity berfungsi sebagai pusat pemprosesan mini.

“Persijilan halal lebih mudah dilaksanakan di pusat pemprosesan ini, dan ia menjadi langkah penting sebelum produk dipasarkan secara meluas,” tambahnya.

Norjanah turut merakamkan penghargaan atas sokongan padu kerajaan negeri, khususnya kepada Toh Puan Fauziah selaku penaung PPWS, yang turut menyokong inisiatif memperkasa ekonomi wanita melalui koperasi.

Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-63 penubuhan PPWS.

Sebagai pengisian program, pelbagai aktiviti telah diadakan termasuk Pertandingan Bumbu Bubur Pedas serta demonstrasi memasak bubur pedas yang disempurnakan oleh Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah bersama Dato Sri Fatimah Abdullah, Norjanah Razali dan Dato Norhyati Mohd Ismail.

Pesta Bubur Pedas Sarawak 2026 dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh identiti makanan tradisional Sarawak, di samping membuka peluang ekonomi baharu kepada wanita melalui pembangunan produk warisan negeri. – TVS