KUCHING, 25 April: Program Intervensi Kesedaran dan Pencegahan di Sarawak membuka tirai siri keduanya menerusi inisiatif “Peka, Prihatin, Ambil Peduli” yang berlangsung di Pusat Sokongan Sosial Komuniti (CSSC) Kuching, hari ini.
Program anjuran Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kesihatan mental.
Pada masa sama, program tersebut turut memperkukuh pengetahuan dan keupayaan komuniti dalam usaha pencegahan di peringkat akar umbi.
Dengan penganjuran program sedemikian, ia membantu komuniti tempatan menyediakan ruang sokongan yang lebih luas, sekali gus memberi impak positif kepada masyarakat setempat.
Ceramah telah disampaikan oleh Nurfatiehah Nadrah Mohammad Salleh yang merupakan Pegawai Psikologi dari Klinik Kesihatan Petra Jaya serta Patricia Anna Lau, Pegawai Psikologi dari Klinik Kesihatan Batu Kawa.
Terdahulu, siri pertama program ini telah diadakan pada 4 April lalu di Serian yang menghimpun seramai 50 orang peserta. – TVS






