KUCHING, 5 Mei: Perpaduan dan komitmen dalam kalangan ahli menjadi teras utama kekuatan Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) dalam memastikan organisasi itu terus relevan dan berdaya saing.
Pengerusi Negeri PPWS, Dato Norhyati Mohd Ismail, berkata kekuatan sesebuah organisasi bukan hanya bergantung kepada pelaksanaan program, sebaliknya dipacu oleh kesepaduan serta kesungguhan ahlinya.
Menurut beliau, peranan wanita kini semakin signifikan dalam landskap pembangunan masyarakat, justeru kerjasama berterusan perlu diperkukuh bagi memastikan PPWS kekal memainkan peranan yang berkesan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Doa Selamat sempena Hari PPWS yang berlangsung di Ibu Pejabat PPWS, di sini, hari ini.
Majlis yang dihadiri ahli serta jemputan itu dimulakan dengan bacaan doa sebagai tanda kesyukuran, sebelum diteruskan dengan acara simbolik pemotongan kek.
Sambutan itu mencerminkan semangat kebersamaan dalam kalangan ahli PPWS serta komitmen berterusan organisasi berkenaan dalam memperkasa wanita dan komuniti di Sarawak.






