PPWS Sejambak Kasih santuni 65 anak yatim

KUCHING, 18 Julai: Seramai 65 anak yatim menerima sumbangan serta sokongan moral menerusi Program Santunan Anak Yatim bertemakan “Sejambak Kasih, Seikhlas Sedekah” anjuran Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Perkumpulan Matang.

Program tersebut menjadi sebahagian daripada usaha berterusan PPWS dalam memperkukuh budaya kebajikan dan tanggungjawab sosial dengan mendekati golongan yang memerlukan menerusi pendekatan berteraskan kasih sayang, keprihatinan serta kebersamaan.

Pengerusi Negeri PPWS, Dato Norhyati Mohd Ismail berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja memberi bantuan dari segi material, malah turut memberi sokongan emosi dan moral kepada anak-anak yatim.

“Program ini bukan sahaja bertujuan menyampaikan sumbangan material, malah memberi sokongan emosi dan moral kepada anak-anak yatim agar mereka terus bersemangat membina masa depan yang lebih baik.

“Selaras dengan tema ‘Sejambak Kasih, Seikhlas Sedekah’, inisiatif ini mencerminkan keikhlasan serta komitmen masyarakat dalam berkongsi rezeki dan memperkukuhkan semangat kebersamaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Seramai 65 penghuni daripada Pertubuhan Kebajikan Baiturrahmah Kuching, Laman Huda dan Mahad Tahfiz Raudhatul Jannah menerima sumbangan daripada PPWS selain berpeluang menyertai pelbagai aktiviti santai bersama sukarelawan dan tetamu yang hadir.

Menurut PPWS, program seumpama itu diharap dapat diteruskan sebagai platform memupuk nilai tanggungjawab sosial dalam kalangan komuniti, di samping menggalakkan lebih banyak pihak tampil menyokong usaha-usaha kebajikan.

“PPWS komited untuk terus memperkasa wanita, keluarga dan komuniti melalui pelaksanaan pelbagai program pembangunan dan kebajikan yang inklusif serta memberi impak positif kepada masyarakat,” tambah kenyataan itu lagi.

Program tersebut turut mendapat sokongan pelbagai pihak yang bersama-sama menyumbang kepada kejayaan penganjurannya. – TVS