Galak gaya hidup sihat, erat silaturahim

LIMBANG, 16 Ogos: Program Batik Fun Run/Walk 2026, yang dianjurkan Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Bahagian Limbang/Lawas semalam satu inisiatif strategik menggalakkan gaya hidup sihat, mengeratkan silaturahim serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

Pengerusi PPWS Negeri, Dato’ Norhyati Mohd Ismail berkata, penganjuran Batik Fun Run/Walk 2026 memperlihatkan komitmen PPWS dalam memperkasakan peranan wanita melalui aktiviti kemasyarakatan, kesihatan dan kesejahteraan, serta menjadi platform untuk memperkukuh jaringan persahabatan serta hubungan antara komuniti merentasi sempadan.

Menurutnya, program ini selaras dengan aspirasi PPWS untuk terus melaksanakan aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya dalam membudayakan amalan hidup sihat dan aktif.

“PPWS sentiasa komited untuk menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang sihat, aktif dan bersatu padu. Program seperti Batik Fun Run/Walk ini memberi peluang kepada kita untuk bersenam, berinteraksi dan pada masa yang sama mengeratkan hubungan antara komuniti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Program itu katanya, turut disertai peserta dari Brunei Darussalam, menjadikan program ini lebih istimewa kerana ia mencerminkan hubungan erat dan semangat persahabatan yang terjalin antara masyarakat di Sarawak dan negara jiran.

Jelasnya, lagi pemilihan konsep batik sebagai identiti program turut menyerlahkan keunikan warisan dan budaya, di samping memberikan suasana yang ceria dan menarik kepada para peserta sepanjang program berlangsung.

Katanya, PPWS optimis penganjuran program seumpama ini akan diditeruskan pada masa akan datang sekali gus menjadi inidikator memupuk gaya hidup sihat, memperkukuh perpaduan dan membina komuniti yang lebih aktif, harmoni serta sejahtera.

Kira-kira 200 orang peserta terdiri daripada warga Limbang dan Lawas, termasuk peserta dari Brunei Darussalam memeriahkan larian tersebut. -TVS