LIMBANG, 16 Ogos: Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) terus memainkan peranan penting dalam membimbing dan memperkasa wanita, khususnya di kawasan luar bandar bagi meningkatkan taraf hidup menerusi ilmu, kemahiran dan pendidikan asas.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, sejak penubuhannya pada 1962, PPWS sentiasa komited mengangkat potensi wanita Sarawak dalam pelbagai bidang termasuk kemahiran dan keusahawanan.
Menurutnya, PPWS turut menjadi wadah menyemai perpaduan, persefahaman dan persahabatan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak tanpa mengira latar belakang agama, politik dan budaya.
“PPWS juga memainkan peranan menggilap serta membina potensi diri wanita supaya mampu memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.
“Dari segi aktiviti sosioekonomi pula, PPWS membuka peluang kepada ahlinya untuk melaksanakan program keusahawanan, pendidikan keluarga dan kesihatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran dan Makan Malam sempena Sambutan Ulang Tahun PPWS Ke-64 anjuran PPWS Daerah Limbang 2026 di Dewan Suarah, malam tadi.
Turut hadir ialah isteri beliau, Datin Elsi Marlisa Abdullah; Pengerusi PPWS Sarawak, Dato’ Norhyati Ismail; Exco PPWS Cawangan Limbang/Lawas, Hamimah Hasbullah dan Jemilah Matasan serta Pengerusi PPWS Daerah Limbang, Dayang Suridah Mohamad Superi.
Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang berkata, PPWS turut menjalinkan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, badan swasta dan pertubuhan bukan kerajaan yang mempunyai matlamat selaras dalam usaha memperluas manfaat kepada wanita.
Beliau optimis PPWS akan terus melahirkan pemimpin tempatan melalui pelbagai aktiviti dan program yang dilaksanakan, sekali gus menjadi kebanggaan kepada kaum wanita di Sarawak.
“Sejak ditubuhkan sehingga kini, PPWS telah memberi sumbangan besar dalam membimbing wanita khususnya di luar bandar melalui pendidikan, selain melaksanakan projek dan aktiviti yang membantu mereka menjana pendapatan serta meningkatkan ekonomi keluarga.
Jelasnya, pencapaian dan keupayaan wanita Sarawak khususnya di Limbang semakin menyerlah, selain memainkan peranan penting sebagai wadah menyatukan serta memperkasa golongan usahawan wanita di kawasan berkenaan.-TVS






