Wanita Lundu Penggerak Patriotisme, Kukuh Perpaduan Komuniti

LUNDU, 15 Ogos (MalaysiaAktif) – Golongan wanita terus memainkan peranan kritikal sebagai penggerak utama komuniti dalam menyemarakkan semangat patriotisme, mengeratkan perpaduan serta membina masyarakat yang harmoni bermula dari institusi keluarga.

Peranan itu diterjemahkan menerusi Program Semarak Merdeka sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 anjuran Pertubuhan Pergerakan Wanita Sarawak (PPWS) Daerah Lundu/Sematan kelmarin yang berjaya menghimpunkan kira-kira 150 ahli bagi menyemai semangat cintakan negara.

Pengerusi PPWS Daerah Lundu/Sematan Latifah Abdul Hakim berkata penglibatan aktif wanita dalam aktiviti kemasyarakatan membuktikan golongan tersebut mempunyai pengaruh besar dalam membentuk keperibadian ahli keluarga dan memupuk nilai kebersamaan.

“Wanita bukan sahaja menjadi penggerak keluarga, tetapi turut mempunyai kekuatan untuk membawa perubahan positif dalam komuniti melalui penglibatan aktiviti kebajikan dan perpaduan. Semangat cintakan negara juga perlu dipupuk secara berterusan, khususnya kepada generasi muda,” katanya.

Menurut Latifah, kedudukan wanita sebagai tunjang keluarga membolehkan nilai kenegaraan diterapkan sejak dari rumah sebelum ia berkembang ke dalam persekitaran masyarakat yang lebih luas.

Pelaksanaan kempen Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) turut diberi penekanan bagi menggalakkan setiap keluarga mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang kebanggaan terhadap kedaulatan negara.