Pelan jangka panjang perlu perkasa ekonomi ahli PPWS Bintulu-Tatau

BINTULU: Pelan strategik jangka masa panjang perlu dirangka bagi memperkasa ekonomi ahli-ahli Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Daerah Bintulu-Tatau.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee berkata, pelan itu meliputi lima hingga 10 tahun bagi memastikan usaha-usaha dapat dilaksanakan secara konsisten dan memberi manfaat berterusan kepada ahlinya.

Katanya, PPWS perlu kekal relevan dalam menghadapi perubahan semasa khususnya dalam usaha memperkukuh kedudukan ekonomi wanita di peringkat komuniti.

"Peningkatan kemahiran, pengetahuan serta akses kepada maklumat perlu bagi membolehkan ahli menjana pendapatan secara lebih efektif melalui aktiviti ekonomi seperti perusahaan kecil dan perkhidmatan sajian makanan," ujarnya pada Majlis Penyerahan Projek Siap naik taraf kemudahan bangunan PPWS tersebut semalam.

Pada masa sama katanya, menjaga kebajikan ahli khasnya yang berdepan cabaran kesihatan, kewangan dan sosial juga penting supaya mereka tidak terpinggir daripada arus pembangunan.

Selain itu katanya, penggunaan tenaga solar sebagai langkah meningkatkan kecekapan operasi premis kumpulan itu dilihat dapat mengurangkan kos penggunaan tenaga elektrik yang selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Turut diadakan adalah sambutan Jubli Mutiara 30 Tahun Bangunan PPWS Daerah Bintulu-Tatau serta Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri 2026.