KUCHING, 14 Okt: Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) berkongsi kemahiran pembuatan kuih tradisional dengan prospek di Penjara Puncak Borneo menerusi program pembelajaran kemahiran bagi memperkasa pembangunan modal insan.
Inisiatif itu dilaksanakan menerusi lawatan kerja rasmi PPWS ke Penjara Puncak Borneo sebagai langkah memperkukuh kerjasama antara kedua-dua pihak dalam memperluas akses kepada pembelajaran kemahiran.
Program yang bermula pada 9 pagi itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai pembuatan kuih tradisional dengan perkongsian ilmu dan kemahiran sebagai fokus utama bengkel berkenaan.
“Rombongan PPWS dibawa melawat ke bengkel tenunan songket sebelum menyertai program pembelajaran pembuatan kuih tradisional yang dikendalikan khusus untuk memberi pendedahan dan memindahkan ilmu kemahiran kepada para prospek.
“Lawatan dan bengkel ini dijangka menjadi landasan permulaan kepada pelbagai program kolaborasi strategik yang lebih menyeluruh antara PPWS dan pihak pengurusan Penjara Puncak Borneo pada masa hadapan,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.
Rombongan PPWS diketuai Pengerusi Negeri PPWS, Dato Norhyati Mohd Ismail dan disambut Pengarah Penjara Puncak Borneo, Hamdhan Mat Noh.
PPWS berharap inisiatif berkenaan dapat menyumbang kepada pembangunan modal insan dan memperkasa komuniti tanpa mengira latar belakang. -TVS






