KUCHING: Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Kampung Pichin dan PPWS Daerah Serian terus memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan hubungan silaturahim serta pembangunan komuniti setempat.
Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata penglibatan aktif golongan wanita menerusi PPWS bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat malah menjadi wadah untuk menghimpunkan komuniti menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
“Diharapkan PPWS akan terus aktif dan komited dalam melaksanakan peranan serta tanggungjawabnya mereka agar pertubuhan ini terus berkembang dan maju seiring dengan pertubuhan atau persatuan lain di peringkat daerah, bahagian dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) ketika berucap pada Majlis Makan Malam Mesra PPWS Pichin di Dewan Tayung Langui Kampung Pichin, Serian semalam.
Riot malah menyatakan bahawa majlis berkenaan turut menjadi ruang untuk menghargai sumbangan dan komitmen ahli PPWS dalam menjayakan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Penglibatan wanita dalam aktiviti kemasyarakatan amat penting kerana ia bukan sahaja memperkukuh hubungan sesama anggota masyarakat malah membantu mewujudkan komuniti yang lebih bersatu dan saling menyokong,” tambah beliau.
PPWS memainkan peranan sebagai platform yang menghubungkan golongan wanita dengan masyarakat menerusi pelbagai inisiatif sosial dan kemasyarakatan.
Beliau menambah, kerjasama erat antara pertubuhan wanita, pemimpin tempatan dan masyarakat perlu diteruskan bagi memperkukuh jaringan silaturahim di peringkat akar umbi.
Majlis tersebut turut mencerminkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat Pichin dan Serian yang menyokong usaha memperkasa peranan wanita dalam pembangunan komuniti.
Kira-kira 600 orang telah menghadiri Majlis Makan Malam Mesra PPWS Pichin yang turut menjadi medan pertemuan serta mengeratkan hubungan dalam kalangan ahli dan masyarakat setempat.






