Berita Akhbar

PPWS Anjur Program Kesedaran Kehamilan Remaja 2022 Di Serian

SERIAN : Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Cawangan Kuching/Samarahan telah mengadakan Program Kesedaran Kehamilan Remaja 2022 di Dewan Masyarakat Serian pada Sabtu.

Objektif program itu ialah bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terutamanya golongan belia, ibu bapa serta kaum wanita tentang kepentingan usaha mencegah kehamilan dalam kalangan remaja.

Usaha PPWS ini juga ialah sebagai inisiatif untuk menyokong kerajaan dalam menangani kes kehamilan remaja di mana terdapat pelbagai program kesedaran, advokasi dan intervensi yang telah dan sedang dilaksanakan pada masa ini.

Hadir merasmikan program tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus.

Berucap ringkas, beliau berharap program-program kesedaran seumpamanya dapat diteruskan dan dilaksanakan di tempat-tempat lain yang melibatkan lebih ramai pelajar dan belia di kawasan Serian.

“Menyentuh tentang kesedaran, kita perlu melihat ia secara menyeluruh serta merangkumi pelbagai aspek seperti sosial, kesihatan dan ekonomi.

“Kesemua aspek ini berkait rapat dengan kesan-kesan kepada remaja dan anak yang bakal dilahirkan nanti,” katanya.

Seramai 50 peserta terdiri daripada golongan belia dan kaum ibu telah hadir mengikuti program yang julung kali diadakan di daerah Serian itu.-EDISI UKAS