Berita Akhbar

SFWI Anjur Persidangan Kawasan Wanita Negara Bersekutu Dunia (ACWW) Ke-13 Bertemakan ‘Kepelbagaian Adalah Kekuatan Kita’

KUCHING: Persekutuan Institut Wanita Sarawak (SFWI) akan menganjurkan Persidangan Kawasan Wanita Negara Bersekutu Dunia (ACWW) Ke-13 untuk Asia Tenggara dan Timur Jauh dari 4 hingga 6 Julai ini di hotel terkemuka di Kuching.

Pengerusi SFWI, Dato Hajah Norhyati berkata Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) telah dilantik menjadi tuan rumah kepada acara persidangan tersebut. “Kira-kira 200 perwakilan wanita daripada persatuan dan ahli-ahli ACWW berdaftar dan bukan ahli akan menyertai persidangan ini.

“Terdapat beberapa perwakilan dari luar negara dan dalam negara seperti dari Brunei, Kemboja, Indonesia, Filipina dan Singapura serta perwakilan dari Malaysia seperti dari Pahang, Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Selangor, Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat PPWS, Jalan Green pada Rabu. Mengulas lanjut, Dato Norhayati memberitahu persidangan kali ini juga akan menyerlahkan bakat dan kemahiran yang ada pada wanita hari ini dalam konteks masyarakat. “Persidangan SFWI-ACWW ini akan menyerlahkan kewibawaan wanita, tanpa mengira lokaliti atau negara mereka sebenarnya boleh membantu antara satu sama lain dalam seperti bidang pendidikan, alam sekitar, teknologi, kemajuan masyarakat dan kedudukan kepimpinan,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, persidangan ini akan dimeriahkan lagi dengan kehadiran Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. -EDISI UKAS