Berita Akhbar

PPWS Kampung Simpok Anjur ‘Members Sale Day’, Perkasa Wanita Tempatan

SIBURAN: Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Kampung Simpok telah menganjurkan ‘Members Sale Day’ bertempat di perkarangan dewan kampung tersebut di sini pada Sabtu.

Perasmian program tersebut telah disempurnakan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Datuk Roland Sagah Wee Inn.

Beliau dalam ucapannya menzahirkan ucapan tahniah di atas penganjuran program seumpamanya yang mampu memberi kesenangan kepada golongan wanita di kawasan tersebut.

Selesai simbolik perasmian, Datuk Roland telah menyampaikan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Tahun 2022 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM190,000 kepada 14 penerima sebagai memperkasakan kualiti kehidupan masyarakat tempatan serta membolehkan pertubuhan berkaitan menjalankan aktiviti tahunan mereka.

Sementara itu, Pengerusi PPWS Kampung Simpok, Annie Teresa John berkata, pertubuhan itu merupakan antara 33 perkumpulan yang berada di bawah selian PPWS Daerah Serian.

Jelasnya lagi, misi PPWS adalah untuk memberi peluang kepada golongan wanita bagi mencapai pontesi dalam semua bidang serta meningkatkan taraf kehidupan dan status mereka. Hadir sama ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Damen Rejek, Pengerusi PPWS Daerah Serian, Juto, dan Ketua Kampung Simpok, Vincent Tambang. -EDISI UKAS