Berita Akhbar

20 wanita dari Sungai Asap ikuti lawatan ke PPWS Bintulu-Tatau

BINTULU: Seramai 20 ahli wanita Uma Baha, Uma Belor dan Uma Ukit dari Sungai Asap, Koyan, Belaga didedahkan dengan pelbagai aktiviti dan perkongsian pelbagai ilmu berkaitan semasa lawatan ke Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Daerah Bintulu-Tatau di bangunan perkumpulan itu di Jalan Tun Razak di sini, hari ini.

Rombongan diketuai Pengerusi Wanita Uma Baha Linda Tuban, Pengerusi Wanita Uma Belor Siong Japi, Pengerusi Wanita Uma Ukit Suti Bawa serta Pengerusi Persatuan Kebangsaan Kenyah (PKK) Cawangan Sungai Asap Belaga Lawing Luat.

Pengerusi PPWS Daerah Bintulu Tatau Hashimah Wahab berkata, lawatan rombongan terbabit adalah lawatan balas selepas rombongan PPWS Bintulu Tatau melawat ahli-ahli wanita di Sungai Asap sebelum ini.

"Lawatan itu bukan sahaja untuk ahli-ahli wanita dan PPWS Bintulu Tatau saling kenal mengenal antara satu sama lain bahkan untuk menjalin hubungan agar lebih akrab," ujarnya pada Majlis Salam Disambut Akrab Bertaut Wanita Sungai Asap, Koyan, Belaga ke PPWS Bintulu-Tatau.

Beliau berkata, pelbagai program diadakan bagi memeriah dan menyambut ketibaan rombongan tersebut, antaranya, demonstrasi masakan oleh ahli-ahli PPWS dan rombongan tersebut.

Pada masa sama Pengerusi PKK Cawangan Sungai Asap Belaga Lawing Luat berkata, pihaknya berharap pertubuhan wanita di Sungai Asap dapat didaftar di bawah PPWS Bahagian Bintulu oleh Ibu Pejabat PPWS negeri ini.

Katanya, menempatkannya di bawah PPWS Bintulu adalah mengambil kira jarak petempatan Sungai Asap yang dekat dengan Bintulu yang memakan perjalanan dua jam, memudahkan urusan perbankan di Bintulu dan dari segi keselamatannya.

Justeru katanya, pihaknya menyerahkan surat permohonan ini kepada PPWS Bintulu seterusnya akan diserahkan kepada PPWS negeri untuk mendapat kelulusan.

Beliau menghargai dan berterima kasih kepada PPWS Bintulu-Tatau yang memainkan peranan melalui perkumpulan itu untuk manfaat ahli-ahlinya.

"Ini merupakan lawatan balas selepas kunjungan PPWS Bintulu-Tatau ke Sungai Asap Belaga pada 15 Februari lalu," jelasnya sambil menambah melalui lawatan itu akan dapat mendedahkan ahli-ahli wanita Sungai Asap dalam pembelajaran ilmu-ilmu memasak, membuat kuih-muih, kraf tangan dan sebagainya.

Antara demonstrasi masakan yang diadakan adalah cara memasak te'bes dan rendang ayam masak lemak oleh ahli-ahli PPWS Bintulu, manakala ahli-ahli wanita Sungai Asap pula menunjukkan demonstrasi memasak makanan tradisional Orang Ulu iaitu masak saga tong ubi metun dan kuih huea utat.