Berita Akhbar

Fahami sepenuhnya makna Malaysia Prihatin

SARIKEI: Program Sepakat@Komuniti merupakan acara tahunan Jabatan Penerangan Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii berkata, program ini mempunyai tujuan dan matlamat yang jelas, iaitu untuk memperkasakan komuniti melalui penglibatan dalam aktiviti anjuran kerajaan.

“Selain itu, ia bertujuan meningkatkan pemahaman rakyat sekaligus mengelakkan salah tanggapan terhadap dasar, inisiatif dan kempen yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Bersempena dengan tema sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini iaitu Malaysia Prihatin, saya ingin menyeru hadirin semua agar mendalami maksud sebenar tema ini.

“Kita sebagai rakyat seharusnya sentiasa bersih jiwa dan minda dalam mengekalkan perpaduan dan keharmonian negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Sepakat@Komuniti Daerah Sarikei anjuran Jabatan Penerangan Sarawak dengan kerjasama Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Daerah Sarikei di Dewan PPWS, pagi semalam.

“Saya menyeru supaya kita semua sentiasa menghargai dan memperingati jasa pemimpin terdahulu dalam mencapai kemerdekaan negara.

“Bersamalah kita mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, pejabat, premis perniagaan, kereta dan di mana-mana tempat bersesuaian sebagai bukti cinta kita kepada negara, menjelang sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini,” ujarnya.

Turut hadir di program tersebut ialah Pegawai Penerangan Daerah Sarikei, Michael Sabek dan Pengerusi PPWS Daerah Sarikei,Yong Sing Yii.