Berita Akhbar

PPWS terus perkasa wanita tanpa kira latar belakang

MIRI, 7 Ogos: Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) berperanan membantu wanita dengan memberi pendidikan dan kemahiran melalui aktiviti dan program terancang bagi memupuk semangat kerjasama dan persefahaman, selain bergaul mesra tanpa mengira latar belakang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, persatuan sebegini penting terutamanya untuk golongan wanita muda dan usaha tersebut perlu diteruskan.
“PPWS satu institusi yang penting di seluruh Sarawak. Ini salah satu institusi di mana para wanita boleh berkumpul bersama, terutamanya untuk wanita muda. Jadi saya lihat PPWS perlu diteruskan bagi membolehkan semua wanita terus bersama,” katanya pada Majlis Perasmian Pagar Baru Bangunan PPWS Miri di Jalan Jee Foh Utama di sini, hari ini.
Sebastian juga berharap fasiliti PPWS Miri dapat dimanfaatkan bukan sahaja untuk di Bahagian Miri, tetapi juga untuk PPWS di bahagian lain .
“Saya lihat ada bilik besar dan ada tujuh bilik.Mungkin boleh sewa atau lakukan perkara lain. Kalau ada program, kawan kita dari bahagian lain boleh datang ke sini, dapat tinggal di sini atau boleh gunakan kalau ada aktiviti seperti mesyuarat,” katanya lagi.
Pada masa yang sama Sebastian juga menyerahkan peruntukan cek sebanyak RM10,000 kepada PPWS Miri untuk kegunaan persatuan mereka.
Pembinaan pagar baharu di bangunan PPWS Miri merupakan sebahagian daripada Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang mengambil masa selama empat bulan bermula pada 27 Mac dan telah siap dibina 27 Julai 2023. – TVS