Berita Akhbar

Kerajaan iktiraf keupayaan dan kebolehan wanita – Awang Tengah

LIMBANG, 9 Julai: Wanita kini merupakan komponen penting dalam sumber modal insan dan memainkan peranan dalam pembangunan kerana tenaga, pengalaman, kemahiran serta kepakaran mereka diperlukan demi manfaat kepada negara.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Kerajaan Sarawak mengiktiraf keupayaan dan kebolehan wanita selain menggalakkan lebih ramai wanita menyertai tenaga kerja.
Malah katanya, ramai wanita bergelar Menteri, Timbalan Menteri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Setiausaha Tetap Kementerian, Residen dan pelbagai jawatan tertinggi yang sudah dibuktikan terserlah dan kemampuan mereka tidak perlu disangkal lagi.
“Sumbangan wanita begitu banyak sekali. Dalam pembangunan yang berlaku di negeri dan negara kita ini. Kita lihat sahaja dalam bidang kepimpinan, bagi negeri kita Sarawak sudah ada Menteri, Timbalan Menteri sama ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri, dalam kalangan wanita.
"Jadi wakil rakyat sama ada Ahli Parlimen mahupun ADUN jumlah wanita pun sudah bertambah.
“Di bidang pentadbiran negeri Sarawak kita lihat ada yang sudah menjawat jawatan yang tinggi di kementerian-kementerian negeri Sarawak ini terdapat beberapa orang wanita yang dilantik menjadi setiausaha tetap kementerian dan ada yang juga dilantik dulu sebagai sebagai timbalan setiausaha kerajaan,” katanya.
Awang Tengah berkata demikian pada Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Ulang Tahun Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Ke-61 tahun 2023 Peringkat Negeri Sarawak di Purnama Hotel malam tadi.
Turut sama pada program itu ialah Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Residen Bahagian Limbang, Yunus Tambi dan Pengerusi PPWS Sarawak, Aishah Edris.
Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu berkata, wanita kini menduduki hierarki tertinggi pentadbiran di Sarawak.
Malah katanya, berdasarkan statistik terkini kaum wanita membentuk 49 peratus daripada 2.47 juta penduduk Sarawak dan kadar penyertaan tenaga buruh wanita Sarawak berada pada 51.2 peratus manakala 81.4 peratus adalah tenaga buruh lelaki.
“Sarawak akan meneruskan program untuk memperkasakan wanita melalui peranan PPWS yang memberi perkhidmatan terbaik kepada wanita di negeri ini,” ujarnya. – TVS