Berita Akhbar

NGO landasan terbaik pacu peranan wanita dalam pembangunan Sarawak

LAWAS: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melibatkan kaum wanita seperti Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) merupakan landasan terbaik untuk memacu peranan wanita dalam usaha membangunkan Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, PPWS adalah sebuah institusi yang telah sekian lama berjaya menyatukan rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang agama.
"Justeru, pertubuhan bukan kerajaan melibatkan kaum wanita seperti PPWS merupakan landasan terbaik untuk memacu peranan wanita dalam usaha membangunkan Sarawak,” katanya pada Majlis Perasmian Aneka Bubur anjuran PPWS Cawangan Lawas bersama Baitulmal Cawangan Lawas di gelanggang Arena Lawas baru-baru ini.
Hadir sama Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong dan isteri Datin Tunong Palong, Setiausaha Eksekutif PBB Sarawak Datuk Awang Bujang Awang Antek, Setiausaha Politik Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa dan Residen Bahagian Limbang Yunus Tambi.
Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu berkata lagi, sempena Ramadan ini terdapat banyak program yang menjurus kepada semangat kerjasama dan perpaduan.
“PPWS dilihat terus kekal sebagai institusi yang menyatukan masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang," katanya.
Jelas beliau, perpaduan penting dalam melancarkan semua projek pembangunan dan kerajaan mengiktiraf peranan wanita seperti PPWS untuk terus disokong atas komitmen dan kerjasama yang dipupuk oleh perkumpulan ini.
Pada masa yang sama, Awang Tengah mahu kaum wanita turut terlibat dalam perniagaan kecil.
Katanya, Kerajaan Sarawak melalui pelbagai jabatan dan agensi sedia menyalurkan bantuan dan kemudahan dalam bentuk pinjaman, geran dan ruang niaga seperti Anjung Usahawan.
"Kita sentiasa berusaha membantu rakyat melalui program basmi kemiskinan.
“Oleh itu kita mahu memberi penekanan agar NGO turut menunaikan tanggungjawab bergerak bersama kerajaan dalam usaha mempercepat proses pembangunan," tambahnya.