Berita Akhbar

Hubungan usahawan wanita dari Miri dan Brunei terus diperkukuhkan

MIRI: Hubungan usahawan wanita dari Miri dan negara jiran Brunei Darusalam terus diperkukuhkan melalui jaringan perniagaan antara kedua-dua pihak dianjurkan oleh pertubuhan wanita masing-masing.
Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Cawangan Miri/Bintulu diketuai Halifah Mohamad dan Sharifah Zuridah Wan Hill bersama Persatuan Pengusaha Wanita Negara Brunei Darussalam diketuai Hammah Puasa mengadakan lawatan sambil belajar serta mengadakan jaringan perniagaan ke Miri pada 2 dan 3 September lalu.
Ahli kedua-dua pertubuhan itu mengadakan sesi padanan perniagaan dan pembelajaran di Bangunan PPWS Cawangan Miri di Krokop.
Sesi padanan perniagaan bersama beberapa usahawan tempatan diadakan dan kumpulan usahawan Brunei ini ditunjukkan proses membuat beberapa produk makanan tempatan seperti sri kaya serta kek lapis premium.
Kelas dandanan turut diadakan semasa lawatan ini.
Perkumpulan wanita ini juga mengadakan lawatan ke Galeri Kek Lapis Sarawak Siti Payung sebagai salah satu agenda lawatan mereka.
Tujuan lawatan ini adalah untuk mengenali usahawan berjaya di Miri serta mempelajari teknik membuat kek lapis.
Beberapa usahawan Brunei juga menunjukkan minat untuk menjadi ejen bagi memasarkan jenama ini di Brunei.
Lawatan ini disertai lebih kurang 50 orang ahli.
Turut hadir bersama rombongan adalah Pengelola PPWS Cawangan Miri/Bintulu Sofiani Usop.