Berita Akhbar

Pemerkasaan wanita dan kesaksamaan gender jamin pembangunan negara

KUCHING: Dalam majlis sambutan Hari PPWS 2025 yang diadakan di Kuching semalam, pengerusinya Datuk Norhyati Mohd Ismail menegaskan bahawa pemerkasaan wanita dan kesaksamaan gender kekal sebagai keutamaan kerajaan demi menjamin pembangunan negara secara menyeluruh.

“Wanita adalah tulang belakang keluarga dan pemacu kemajuan dalam pelbagai sektor. Penerapan ilmu dan kemahiran penting untuk membina kekuatan diri dan menghadapi cabaran dunia moden,” ujarnya.

Dengan tema “PPWS: Wadah Wanita, Tonggak Kelestarian”, sambutan tahun ini menekankan prinsip kelestarian merangkumi aspek ekonomi, sosial, alam sekitar, ilmu dan kepimpinan.

Norhyati turut menekankan kepentingan menjaga keseimbangan kehidupan dan pekerjaan, serta kesihatan fizikal dan mental dalam kalangan wanita bagi menjamin kesejahteraan hidup dan ketahanan komuniti.

Majlis turut diisi dengan bacaan tahlil memperingati ahli PPWS yang telah tiada serta doa kesejahteraan sempena Hari PPWS 2025.

- SuaraSarawak